Nenek mati dipukul cucu tak siuman
Ibu suspek turut cedera dibelasah

Tumpat: Seorang lelaki yang kurang siuman mengamuk dan memukul neneknya hingga mati, manakala ibunya turut cedera dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Pasir, Pekan Hilir, Wakaf Baharu, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharudin Rasip, berkata Che Minah Hassan, 84, meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di muka selepas ditumbuk cucunya yang berusia 35 tahun itu dalam kejadian pada kira-kira jam 7 pagi. 
Datang untuk sarapan 


Dalam kejadian itu, Rahimah Che Will, 60, cedera di mata kiri kerana dipukul.
Che Minah dikatakan datang ke rumah suspek untuk bersarapan, maut berhampiran dapur rumah akibat kecederaan parah di kepala.

Suspek sebelum ini pernah dirawat di Hospital Tanjung Rambutan, Perak dan Jabatan Psikiatri & Kesihatan Mental Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, beberapa tahun lalu.

Tinggal berhampiran
Difahamkan, Che Minah yang tinggal berhampiran tempat kejadian datang ke rumah itu kerana anaknya, Rahimah akan menyediakan sarapan setiap hari untuknya.

Anak saudara suspek, Farish Danish Farid, 8, yang ketika itu berada di tingkat atas rumah berkenaan berkata, dia terdengar bapa saudaranya menjerit dan apabila meninjau didapati suspek sedang memukul mangsa.

“Saya nampak dia pukul Mek (moyang) dan Tok Mah (nenek)...saya tidak berani turun,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menantu Che Minah, Mohd Ghani Zakaria, 46, berkata, selepas mendengar jeritan tidak jauh dari kediamannya, dia segera menuju ke tempat kejadian dan cuba membuka pintu, namun dihalang suspek.

“Ketika itu, saya sedang bersiap untuk pergi kerja sebelum mendengar jeritan suspek, saya terus pergi ke tempat kejadian dan cuba membuka pintu di bahagian tepi rumah, tetapi suspek marah dan suruh saya keluar.

Hubungi polis

“Bimbang dengan kejadian itu, saya segera menghubungi polis,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan tinggal di belakang rumah suspek.

Polis menahan suspek tidak lama selepas kejadian itu untuk membantu siasatan dan mayat Che Minah dibawa ke HRPZ II untuk bedah siasat, manakala Rahimah dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 325 Kanun Keseksaan.